Ciri-ciri fizikal Banjaran_Gunung_Andes

Cono de Arita, Salta (Argentina).

Banjaran Andes boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu Andes Selatan di Argentina dan Chile, Andes Tengah meliputi kordilera di Chile, Peru serta sebahagian daripada Bolivia dan Andes Utara di Venezuela, Colombia dan utara Ecuador termasuk Kordilera Timur dan Kordilera Barat. Di Colombia, banjaran ini berpecah kepada tiga rangkaian selari iaitu di bahagian barat, tengah dan timur. Sistem di bahagian timur merupakan satu-satunya yang melunjur ke Venezuela. Kelebarannya diukur sekitar 200-300 km sepanjang banjaran ini, kecuali fleksur Bolivia yang mencatatkan ukuran sepanjang 640 km. Pulau-pulau seperti Aruba, Bonaire dan Curaçao yang terletak di Laut Caribbean di pinggir laut Venezuela, merupakan puncak-puncak pergunungan Andes yang ditenggelami air.

Geologi

Banjaran Andes secara asasnya terhasil oleh proses plat tektonik, yang dibentuk oleh pembenaman plat Nazca di bawah plat Amerika Selatan. Sempadan dua plat ini menghasilkan jurang Peru-Chile.

Pembentukan Andes dikatakan bermula sejak zaman Jura lagi. Tetapi bentuk yang ada sekarang boleh dikesan sejak zaman Batu Kapur. Ia terhasil daripada kenaikan, geseran (atau sesaran) dan lipatan batuan enapan dan metmorf pada kraton purba di bahagian timur. Daya-daya tektonik sepanjang zon benam di seluruh pantai barat Amerika Selatan, di kawasan pertemuan plat Nazca dan sebahagian plat Antartika yang menggelongsor di bawah plat Amerika Selatan, terus-menerus menghasilkan gerakan orogeni yang menyebabkan kejadian gempa bumi kecil dan besar serta letusan gunung berapi sehingga ke hari ini. Betul-betul di bahagian paling selatan wujud satu sesar jelmaan yang memisahkan Tierra del Fuego dengan plat Scotia yang kecil. Merentasi laluan Drake yang berkelebaran sehingga 1000 km, terbentang pergunungan Semenanjung Antartika, di selatan plat Scotia yang wujud sebagai kesinambungan daripada rangkaian pergunungan Andes.

Banjaran ini memiliki banyak gunung berapi termasuk Cotopaxi, salah satu daripada gunung berapi aktif tertinggi di dunia.

Iklim

Iklim di Banjaran Andes adalah berbeza-beza bergantung kepada kedudukan, ketinggian dan jarak dengan laut. Bahagian selatan adalah sejuk dan kerap hujan manakala bahagian tengah agak kering. Utara Andes juga kerap hujan tetapi panas dengan purata suhu mencecah 18 °C di Colombia misalnya. Cuaca pula sering berubah dengan mendadak. Hutan hujan boleh didapati tidak berapa jauh daripada puncak gunung Cotopaxi yang dilitupi salji. Gunung-ganang turut mempunyai kesan terhadap suhu di kawasan persekitarannya.